Wednesday, May 18, 2011

Selamat Hari Guru!


Assalamualaikum, rasanya tak terlambat untuk saya sampaikan ucapan Selamat Hari Guru kepada para pendidik di seluruh dunia termasuklah di Malaysia serta terutamanya kepada cikgu-cikgu saya di SK Wangsa Maju Seksyen 1, SMK Zon R1 Wangsa Maju dan juga para pensyarah di universiti yang sedang saya lanjutkan pelajaran iaitu Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya. 

Jika nak disebutkan satu persatu nama mereka, terlalu ramai dan mungkin akan terlupa untuk saya sebutkan. Jadi saya ingin ucapkan ribuan malahan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada para guru dan pensyarah yang telah bertungkus-lumus, berpenat-lelah serta menyumbang jasa-jasa mereka dalam mendidik anak-anak bangsa terutamanya saya sendiri.



Namun, setelah dua tahun meninggalkan zaman persekolahan, sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun setelah tamatnya zaman persekolahan saya sering mengingatkan saya kepada suatu nostalgia indah pada suatu masa ketika dahulu yang tidak mudah untuk saya lupakan. Di mana, semua pelajar dan guru-guru bekerjasama dalam menjayakan program tersebut dan melalui aktiviti ini saya dapat lihat satu hubungan yang erat antara pelajar dan guru.

Saya masih teringat lagi persembahan-persembahan yang dilakukan oleh para pelajar sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah mendidik mereka. Ingatan pada setiap persembahan yang telah saya dan rakan-rakan lakukan pada setiap sambutan Hari Guru di sekolah terutamanya ketika di zaman sekolah menengah masih segar di ingatan, rasanya seperti baharu semalam perkara tersebut berlalu. Antara persembahan yang telah sedikit sebanyak membuat saya untuk lebih berani dalam berhadapan dengan orang ramai adalah seperti persembahan sketsa, lakonan dan juga persembahan koir. 

Ya, saya juga masih ingat akan tiap-tiap bait lirik yang telah dipersembahkan dalam lagu-lagu yang disampaikan oleh kumpulan koir saya dan rakan-rakan sekelas (5 Bestari) pada tahun akhir kami di SMK Zon R1 iaitu sebuah lagu yang bertajuk No Boundaries dan ini merupakan antara persembahan yang amat bermakna bagi kami pelajar tingkatan 5 ketika itu. Saya juga masih teringat akan persembahan pertama yang saya lakukan iaitu pada Tingkatan 1 bersama-sama dengan rakan-rakan di Lembaga Pustakawan sekolah, sebuah lagu yang saya tidak ingat tajuknya namun lirik yang digubah oleh seorang senior saya ketika itu sungguh bermakna.

Walau apapun, kita sebagai pelajar haruslah saling menghormati guru-guru kita dalam memastikan ilmu yang diperoleh mendapat keberkatan dan berkekalan dalam diri kita. Tanpa para guru yang ibarat lilin membakar diri untuk mendidik kita dan membimbing kita ke arah kebaikan, kita tidak akan berada pada tahap yang kita berada sekarang. Hal ini kerana, wujudnya doktor, angkasawan, jutawan mahupun Perdana Menteri adalah dengan pengorbanan dan didikan serta bimbingan dari para guru mereka pada suatu masa dahulu. Oleh itu, hormatilah guru anda! Wasalam.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...