Monday, May 9, 2011

Selamat Hari Ibu!

Assalamualaikum semua... lama saya dah tak update blog nie dan rasa-rasanya dah lama tak menulis dalam Bahasa Melayu. Jadi, kali nie saya nak tulis pula tentang Hari Ibu yang baru saja berlalu semalam (8/5/2011). Bagaimana sambutan Hari Ibu anda semua?? Tentunya sangat menarik, kan? Sebelum itu, rasanya agak belum terlambat untuk ucapkan Selamat Hari Ibu kepada para ibu terutamanya kepada ibu saya, Faridah Binti Mohd Tahir. Tanpa mereka, tiadalah kita pada hari ini. Terima kasih Ibu!

Namun begitu, dalam kita menyambut Hari Ibu ini, masih juga kita dapat lihat kebanyakan anak-anak yang tidak menghargai kedua-dua ibu bapa mereka khususnya ibu mereka sendiri. Saya sungguh sedih apabila terbaca berita-berita anak-anak yang bertindak seakan-akan Si Tanggang yang sanggup menderhaka kepada ibu bapa mereka. Mereka sanggup untuk melawan kata-kata ibu bapa mereka malahan sanggup mengugut untuk membunuh ataupun menyakiti ibu bapa mereka apabila kemahuan mereka tidak dipenuhi. Tidak sedarkah mereka yang ibu bapa mereka telah banyak berkorban demi mereka? Sedangkan ibu bapa mereka telah mendidik dan mengasuh mereka dengan penuh kasih sayang.

Oleh itu, sempena Sambutan Hari Ibu ini, saya menyeru, menasihati dan memberi peringatan bukan sahaja kepada anda semua tetapi kepada diri saya sendiri, hormati, doakan kesejahteraan mereka di dunia serta akhirat dan kasihi ibu bapa anda seperti mana mereka menyayangi anda selama anda dibesarkan. Selain itu, anda juga perlu senantiasa menjaga percakapan dan budi bahasa ketika berbicara dengan mereka. Akhir sekali, hargailah mereka sementara mereka masih di sisi kita kerana jika mereka telah pergi menemui ilahi, maka ia akan menjadi sebuah kehilangan yang amat besar dalam hidup kita. Sebelum saya menamatkan penulisan saya ini, marilah sama-sama kita membaca Al-Fatihah kepada rakan-rakan kita yang telah kehilangan ibu bapa mereka dan juga sebagai doa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan ibu bapa kita yang masih hidup di dunia agar mereka sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik daripada Allah SWT. Sekian. Wasalam.



Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...